Assalamualaikum. Kita sering mendengar kata-kata ‘dosa memfitnah lebih besar daripada membunuh’ dan ada yang menyatakan ‘lebih baik membunuh daripada memfitnah!”.
Benarkah pernyataan begini SS Datuk Mufti? Jazakallah.
_________________________________________________________________________
Alhamdulillah pujian dan syukur kepada Ilahi dengan pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas Nabi SAW, keluarga, sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya hingga hari kesudahan.
Pernyataan atau dakwaan bahawa dosa memfitnah dalam erti kata membuat tuduhan palsu terhadap seseorang adalah lebih besar dosanya daripada membunuh telah tersebar luas dalam kalangan masyarakat.
Banyak nasihat dan peringatan diberikan akan bahayanya fitnah dan betapa besarnya dosa melakukan pertuduhan palsu terhadap seseorang atau mereka-reka berita yang tidak benar tentang sesuatu perkara. Mereka berdalilkan dua ayat al-Qur’an yang sering dipetik untuk menyokong pernyataan tersebut:
وَالْفِتْنَةُ أَشَدُّ مِنَ الْقَتْلِ
Maksudnya: ... dan (ingatlah bahawa angkara) fitnah itu lebih besar bahayanya daripada pembunuhan...
(Surah Al-Baqarah: 191)
وَالْفِتْنَةُ أَكْبَرُ مِنَ الْقَتْلِ
Maksudnya: Dan (ingatlah), angkara fitnah itu lebih besar (dosanya) daripada pembunuhan.
(Surah Al-Baqarah: 217)
InshaAllah, pada kesempatan ini kami akan jelaskan maksud sebenar kedua-dua petikan ayat al-Qur’an ini berdasarkan konteks keseluruhan ayat dari sudut siyaq al-ayat (urutan sebelum dan selepas ayat) beserta tafsiran daripada para ulama’ tafsir yang mu’tabar.
Konteks Penurunan Ayat
Bagi ayat 191 Surah Al-Baqarah, ayat penuhnya ialah:
وَاقْتُلُوهُمْ حَيْثُ ثَقِفْتُمُوهُمْ وَأَخْرِجُوهُم مِّنْ حَيْثُ أَخْرَجُوكُمْ وَالْفِتْنَةُ أَشَدُّ مِنَ الْقَتْلِ وَلاَ تُقَاتِلُوهُمْ عِندَ الْمَسْجِدِ الْحَرَامِ حَتَّى يُقَاتِلُوكُمْ فِيهِ فَإِن قَاتَلُوكُمْ فَاقْتُلُوهُمْ كَذَلِكَ جَزَاء الْكَافِرِينَ
Maksudnya: Dan bunuhlah mereka (musuh yang memerangi kamu) di mana sahaja kamu dapati mereka, dan usirlah mereka dari tempat yang mereka telah mengusir kamu; dan (ingatlah bahawa angkara) fitnah itu lebih besar bahayanya daripada pembunuhan dan janganlah kamu memerangi mereka di sekitar masjid Al-Haraam sehingga mereka memerangi kamu di situ. Oleh itu kalau mereka memerangi kamu (di situ), maka bunuhlah mereka. Demikianlah balasan bagi orang-orang yang kafir.
Manakala bagi ayat 217 surah yang sama pula, ayat penuhnya ialah:
يَسْأَلُونَكَ عَنِ الشَّهْرِ الْحَرَامِ قِتَالٍ فِيهِ قُلْ قِتَالٌ فِيهِ كَبِيرٌ وَصَدٌّ عَن سَبِيلِ اللَّـهِ وَكُفْرٌ بِهِ وَالْمَسْجِدِ الْحَرَامِ وَإِخْرَاجُ أَهْلِهِ مِنْهُ أَكْبَرُ عِندَ اللَّـهِ ۚ وَالْفِتْنَةُ أَكْبَرُ مِنَ الْقَتْلِ ۗ وَلَا يَزَالُونَ يُقَاتِلُونَكُمْ حَتَّىٰ يَرُدُّوكُمْ عَن دِينِكُمْ إِنِ اسْتَطَاعُوا ۚ وَمَن يَرْتَدِدْ مِنكُمْ عَن دِينِهِ فَيَمُتْ وَهُوَ كَافِرٌ فَأُولَـٰئِكَ حَبِطَتْ أَعْمَالُهُمْ فِي الدُّنْيَا وَالْآخِرَةِ ۖ وَأُولَـٰئِكَ أَصْحَابُ النَّارِ ۖ هُمْ فِيهَا خَالِدُونَ
Maksudnya: Mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad), mengenai (hukum) berperang dalam bulan yang dihormati; katakanlah: "Peperangan dalam bulan itu adalah berdosa besar, tetapi perbuatan menghalangi (orang-orang Islam) dari jalan Allah dan perbuatan kufur kepadaNya, dan juga perbuatan menyekat (orang-orang Islam) ke Masjid Al-Haraam (di Makkah), serta mengusir penduduknya dari situ, (semuanya itu) adalah lebih besar lagi dosanya di sisi Allah. Dan (ingatlah), angkara fitnah itu lebih besar (dosanya) daripada pembunuhan (semasa perang dalam bulan yang dihormati). Dan mereka (orang-orang kafir itu) sentiasa memerangi kamu hingga mereka (mahu) memalingkan kamu dari ugama kamu kalau mereka sanggup (melakukan yang demikian); dan sesiapa di antara kamu yang murtad (berpaling tadah) dari ugamanya (ugama Islam), lalu ia mati sedang ia tetap kafir, maka orang-orang yang demikian, rosak binasalah amal usahanya (yang baik) di dunia dan di akhirat, dan mereka itulah ahli neraka, kekal mereka di dalamnya (selama-lamanya).
Komentar Ulama’ Tafsir
Kami nukilkan disini takrifan dan maksud kalimah fitnah yang terdapat dalam kedua-dua ayat di atas:
- Imam at-Thabari
Makna fitnah dalam ayat والفتنة أشد من القتل ialah syirik, maka ayat ini bermaksud penentangan kaum kafir musyrikin terhadap orang Mu’min sehingga dia kembali menjadi musyrik, adalah lebih dahsyat dan lebih memudaratkan berbanding dia dibunuh dalam keadaan dia tetap berpegang teguh pada agamanya (Islam). Beliau turut menukilkan pandangan Mujahid yang mempunyai maksud yang sama dalam hal ini. (Rujuk Jami’ul Bayan fi Ta’wil al-Qur’an, 3/565)
- Imam al-Qurthubi
Menurut beliau, ayat ini turun berkenaan salah seorang sahabat yang bernama Waqid bin Abdillah at-Tamimiy r.a yang telah membunuh ‘Amru bin al-Hadhramiy pada akhir bulan Rejab (salah satu bulan haram) dalam satu ekspedisi bersama beberapa orang sahabat yang lain, dalam usaha menangani ancaman musyrikin Quraish di Mekah.
Maka, fitnah dalam ayat ini merujuk kepada usaha orang kafir untuk memaksa kaum Muslimin supaya kembali kepada kekufuran, dan ia adalah lebih besar kemudaratannya berbanding usaha balas kaum Muslimin untuk kembali memerangi mereka meskipun pada bulan-bulan haram.
(Rujuk Tafsir al-Qurthubi, 2/351 dan 3/46)
- Syaikh Abdurrahman as-Sa’di
Kata Syeikh as-Sa’di, berperang sewaktu bulan-bulan haram di Tanah Haram (Mekah) merupakan satu mafsadah, namun demikian fitnah yang dilakukan oleh kaum Musyrikin iaitu menghalang manusia daripada agama Allah dan melakukan syirik merupakan mafsadah yang lebih besar. Maka berperang dalam keadaan tersebut adalah diharuskan.
Daripada ayat ini jugalah salah satu kaedah fiqh yang masyhur diambil: Mengambil / melakukan mudarat yang lebih kecil untuk mengelakkan mudarat yang lebih besar.
(Rujuk Taysir al-Karim ar-Rahman, 1/89 dan 1/97)
Kesimpulan
Kesimpulannya, dua ayat al-Qur’an yang dipetik berkenaan fitnah itu tidak memberi maksud dosa memfitnah orang lain seperti tuduhan zina tanpa bukti adalah lebuh besar dosanya berbanding membunuh. Istilah fitnah dalam konteks ayat di atas merujuk kepada penentangan kaum kafir musyrikin terhadap orang Mu’min dan kesyirikan mereka terhadap Allah SWT.
Sangkaan bahawa dosa memfitnah seperti menuduh seseorang adalah lebih besar dosanya berbanding membunuh adalah tidak tepat sama sekali dan tersasar daripada kehendak sebenar al-Qur’an.
Kefahaman terhadap al-Qur’an hendaklah bersumberkan daripada tafsiran para ulama’ mu’tabar, dan bukan sekadar sangkaan (zhann) atau ikut-ikutan tanpa penelitian.
Wallahu a’lam.
No comments:
Post a Comment