Bismillah
اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ عَبْدِكَ وَرَسُولِكَ النَّبِيِِّ الأُمِّيِّ وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِهِ وَسلِّمْ
malam ni adalah malam pertama kita adakan usrah di group BWS
🍒 jadi saya perkenalkan diri dulu..
Nama : Nurul Aqilah
umur : 18 tahun
tinggal : terengganu
sekarang ni sering kali kita mendengar group dakwah group usrah.. tapi kita tahu tak makna usrah itu sendiri..
jadi tajuk perkenalan kita hari ini ialah
🍉 Apa Itu Usrah 🍉
Usrah dalam bahasa Arab ialah keluarga.
Dari segi istilah, usrah bermaksud kumpulan individu muslim (afradul muslimin) yang beriman dengan Allah S.W.T. berusaha tolong menolong antara satu sama lain untuk memahami dan menghayati Islam berdasarkan firman Allah Ta’ala
Maksudnya: “ Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan. dan bertaqwalah kepada Allah, kerana Sesungguhnya Allah Maha berat azab seksaNya (bagi sesiapa Yang melanggar perintahNya).
(Al-Maaidah : 2)
PERANAN USRAH
🍌Tempat untuk menyampaikan dan mendapatkan ilmu.
🍌Dapat membincang dan menyelesaikan mengenai sesuatu masalah yang timbul.
🍌Melahirkan sifat tolong menolong apabila terdapat ahli usrah ditimpa kesusahan.
🍌Membentuk satu ikatan perpaduan yang dibina atas dasar aqidah Islam dan terjalin dengan suatu ikatan persaudaraan Islam (ukhuwwah Islamiyyah).
🌹 Pandangan Al-Ustaz Hassan al-Banna mengenai usrah ;
“Sesungguhnya Islam sangat memandang berat pembentukan ikatan perpaduan antara penganut-penganutnya. Ikatan ini dinamakan “Usrah” atau “Keluarga”. Dengan terbentuknya “Usrah” atau “Keluarga” seperti ini, dapatlah penganut Islam dipimpin ke arah contoh- contoh amalan yang baik serta terpuji dan dapatlah pula memperkuatkan ikatan mereka, bahkan dapat juga mempertingkatkan lagi mutu “Ukhuwah” atau “Persaudaraan” dikalangan mereka daripada peringkat percakapan dan pandangan teori kepada peringkat perbuatan dan amalan”.
🍒 Beberapa pandangan Al-Ustaz Mustafa Masyur mengenai usrah antaranya ;
🥧Merupakan wasilah penting dan dapat melahirkan muslim yang memiliki aqidah yang betul, ibadat yang sah serta akhlak yang sempurna.
🥧Usrah merangkumi dua keadaan dimana ia sebagai halaqah ilmu pengetahuan dan halaqah tarbiyah iaitu mengetahui sesuatu dan mengamalkannya.
🥧Mewujudkan kesabatian roh ta’awun, persefahaman, bantu membantu sesama usrah dan bekerjasama dalam menyelesaikan masalah.
Pandangan Puan Khadijah Hambali, Pensyarah di Fakulti Usuluddin, Universiti Malaya.
Usrah dalam bahasa Arab ialah keluarga tetapi dalam konteks halaqah ia tidak tertumpu kepada ahli keluarga bahkan ia lebih meluas tertumpu kepada masyarakat.
Kesimpulannya, usrah adalah proses untuk mengikat hubungan yang lebih mantap di kalangan ahli jemaah bagi melakukan kerja Islam yang mencabar. Tegur-menegur antara sesama ahli dan nasihat-menasihati adalah asas kekuatan jemaah. Kemanisan berjemaah akan terasa apabila pelaksanaannya menepati kehendak usrah bahkan ia lebih meluas kepada hubungan yang berdasarkan ikatan keimanan. Firman Allah Ta’ala.
Maksudnya: “ Sesungguhnya orang-orang Yang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah di antara dua saudara kamu (yang bertelingkah) itu; dan bertaqwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat ”.
MATLAMAT USRAH
Antara matlamat umum usrah adalah untuk melahirkan keperibadian masyarakat dan mahasiswa yang mempunyai sahsiah dan peribadi yang soleh dan cemerlang serta berketrampilan dalam menggerakkan daulah Islamiyah dan menegakkan syariat Allah Ta’ala. Manakala matlamat khas tarbiyah usrah adalah seperti berikut:
🍓Meningkatkan dan memantapkan kefahaman ahli usrah tentang ajaran Islam yang syumul.
🍓Membina generasi dan masyarakat yang berani menegakkan akhlak Islamiyah dalam diri dan sensitif dengan segala perkara yang berkaitan dengan Islam.
🍓Membentuk satu generasi yang benar-benar memahami Islam, beramal dengan ajaran Islam dan bersedia untuk memperjuangkan Agama Allah S.W.T.
🍓Dapat menghidupkan tradisi ilmu di dalam diri dan mempunyai semangat persaingan yang tinggi dalm mendapatkan ilmu.
🍓Melahirkan keikhlasan kepada Allah dalam setiap amalan untuk mencari keredhaan Allah S.W.T.
🍓Mengukuhkan semangat ukhuwwah Islamiyyah dan memupuk semangat bertindak secara berjemaah.
Secara keseluruhannya matlamat usrah adalah berkisar kepada penghayatan dan kefahaman terhadap al-Quran dan ajaran Islam yang melahirkan individu yang taat dan patuh kepada Allah serta mengamalkan dalam kehidupan mereka.
TUJUAN
Di dalam tarbiyah usrah terdapat dua perkara utama iaitu melaksanakan perintah Allah S.W.T dalam konteks perhubungan individu dengan Allah S.W.T dan perhubungan sesama manusia. Manakala perkara kedua ialah mewujudkan usaha bantu-membantu sesama ahli kumpulan. Antara tujuan usrah yang lain ialah:
🥝Mendidik perasaan anggota supaya bertanggungjawab terhadap Allah dan Rasulnya
🥝Mengiltizamkan anggota dengan akhlak al-Quran supaya dapat mematuhi perintah Allah dan menjauhi larangannya.
🥝Menghubungkan ahli usrah secara langsung dengan al-Quran dan as-Sunnah.
🥝Setiap ahli usrah hendaklah membetulkan niat dan mengikhlaskan diri semasa menghadiri usrah.
🥝Merapatkan ukhuwwah dan kasih sayang dalam kalangan anggota.
🥝Menghidupkan budaya nasihat-menasihati.
🥝Membina semangat kerja secara berjemaah dalam urusan kerohanian dan kehidupan dunia.
🥝Membina ukhuwwah Islamiyyah yang sanggup berkorban sebagai kekuatan jama’ah Islam.
RUKUN-RUKUN USRAH
Rukun usrah terdiri daripada 3 perkara yang perlu diberi perhatian oleh semua ahli usrah dan bersungguh-sungguh menjayakannya agar ikatan usrah tersebut tidak semata-mata menjadi beban yang tidak membawa sebarang erti.
Tiga rukun tersebut ialah:
🍼Al- Ta’aruf (berkenalan)
🍼Al- Tafahum (bersefahaman)
🍼Al-Takaful (bantu-membantu/berseimbangan)
a) Al-Ta’aruf (Berkenalan)
Berkenalan antara satu sama lain merupakan rukun pertama usrah. Setiap ahli hendaklah mengenali antara satu sama lain serta berkasih sayang kerana Allah. Mereka perlu menyedari dan memahami pengertian ukhuwwah sejati sesama saudara. Ahli juga digalakkan berusaha bersungguh-sungguh supaya tiada sebarang perkara yang boleh mengeruhkan hubungan tersebut. Ini boleh dilakukan dengan menjunjung perintah Allah s.w.t. dan sunnah Rasulullah s.a.w., bahkan kedua-duanya wajib diutamakan mengatasi perkara-perkara lain.
Firman Allah s.w.t:
Bermaksud: “ Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (ugama Islam), dan janganlah kamu bercerai-berai ”
(Surah al Imran, ayat 103 )
Firman Allah s.w.t seterusnya:
Bermaksud: “Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah di antara dua saudara kamu (yang bertelingkah) itu; dan bertaqwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat.
(Surah Al Hujurat, ayat 10 )
Sabda Rasulullah s.a.w:
" الـمُـؤمِنُ لِلْمُؤْمِنِ كَلْبُنْيَانِ يَشُدُّ بَعْضُهُ بَعْضًا "
Bermaksud: “ Orang-orang mukmin bagi mukmin itu umpama satu binaan yang menguatkan sebahagiannya dengan sebahagian yang lain ”
(Sahih Bukhari)
Berdasarkan ayat al-Quran dan hadis yang dinyatakan jelas menunjukkan bahawa Islam amat menitikberatkan perhubungan sesama muslim dalam semua hal sehingga masing-masing merasakan bahawa setiap anggota adalah sebahagian daripada mereka.
b) Al-Tafahum (Bersefahaman)
Rukun kedua usrah ialah Tafahum atau bersefahaman. Kita dituntut sepanjang masa untuk berpegang kepada kebenaran iaitu dengan mengerjakan suruhan Allah s.w.t. dan meninggalkan laranganNya. Ahli usrah mesti sentiasa meneliti diri sehalus-halusnya sama ada benar-benar telah menunaikan perintah Allah atau menderhakai perintahNya. Setelah memeriksa diri sendiri maka hendaklah nasihat-menasihati antara satu sama lain apabila ada kekurangan pada saudara yang lain.
Dalam memberi nasihat, yang diberi nasihat hendaklah bersedia menerima nasihat dari saudaranya serta berterima kasih atas nasihat tersebut. Nasihat hendaklah diberi dengan cara yang baik dan tidak memandang rendah terhadap saudara yang dinasihati serta tidak meyinggung perasaan.
Setiap naqib dan naqibah berperanan penuh dalam membentuk persefahaman di kalangan ahli usrah serta menguruskan kumpulan usrah dengan baik, secara tidak langsung ahli kumpulan akan merujuk kepada ketua mereka jika terdapat kemusykilan dan dapat menerima sebarang teguran dengan hati yang terbuka.
c) Al-Takaful (Bantu-membantu/berseimbangan)
Al-takaful atau bantu-membantu adalah memelihara nasib sesama sendiri hingga tiada yang terbiar atau terlantar. Dasar Al-takaful ini hendaklah dilaksanakan dengan bersungguh-sungguh untuk bersama-sama memikul bebanan sesama sendiri. Dasar ini merupakan tunjang iman dan intisari ukhuwwah yang sejati. Untuk mengamalkan rukun Al-takaful ini, kita hendaklah sentiasa bertanya khabar berita, ziarah-menziarahi dan saling memberi pertolongan sedaya mungkin.
Adalah menjadi tanggungjawab setiap ahli usrah untuk memelihara dan melaksanakan rukun-rukun usrah ini dengan sebaik mungkin.
ADAB-ADAB USRAH
* Mengikhlaskan niat semata mata kerana Allah s.w.t. Firman Allah s.w.t:
“Katakanlah: Sesungguhnya solatku, ibadahku, hidupku dan matiku hanyalah untuk Allah Tuhan sekelian alam”
* Datang ke tempat usrah tepat pada waktu yang dijanjikan.
* Meminta izin untuk masuk dan keluar usrah serta memberi salam sebelum masuk usrah
* Datang ke majlis urah dalam keadaan berwudhuk dan suci jiwa dan tubuh badan
* Datang ke majlis usrah dengan persiapan dan membawa keperluan yang diperlukan seperti Al-Qur’an, teks usrah dan buku catitan
* Hadir usrah dengan hasrat mengukuhkan ukhuwwah Islamiyyah dan berazam untuk mendapatkan ilmu dan kefahaman Islam.
* Mendahului majlis usrah dengan Al-Fatihah, pujian dan syukur ke hadrat Allah s.w.t. serta selawat ke atas Rasulullah s.a.w. Menutup majlis dengan bacaan surah Al-A’sr dan tasbih kaffarah dengan bertadabbur maknanya.
* Jangan mengangkat suara yang tinggi melebihi keperluan, tidak banyak ketawa dan tidak banyak bergurau serta tidak banyak bertengkar
* Sentiasa berusaha untuk merapatkan ukhuwwah di kalangan ahli usrah.
* Berada dalam keadaan sopan-santun dan berbincang dengan baik dalam segala perkara yang dibangkitkan.
* Bersalaman dan bermaafan selepas selesai majlis.
KESIMPULAN
Setiap perkara yang dijalankan dalam tarbiyah usrah hendaklah berlandaskan al-Quran dan al-Sunnah. Perkara yang dibincangkan semestinya mengenai ketuhanan, akhlak yang mulia, pembentukan sahsiah dan juga perkara-perkara yang berunsur nasihat-menasihati. Para nuqaba’ perlu mempersiapkan diri mereka dengan ilmu pengetahuan yang baik disamping persediaan mental dan kejiwaan
No comments:
Post a Comment